|
Tsunami di Asia : Mengapa tiada amaran?
Dengan menggunakan model komputer, para saintis boleh menjangkakan kemungkinan penyebaran tsunami dan kebarangkalian impaknya. Tiada sistem sebegini di Lautan Hindi. Dari 11 negara yang terjejas oleh malapetaka minggu lalu, hanya Thailand dan Indonesia sahaja terletak di dalam sistem amaran tsunami Lautan Pasifik.
Kebanyakan negara-negara ini mempunyai unit-unit seismologi yang mengesan gempabumi. Tanpa adanya perancangan, persediaan dan peralatan tambahan, sukar untuk membuat jangkaan yang tepat. Dan masa adalah intipatinya, memandangkan badai tsunami bergerak pada kelajuan sehingga 800km/j, bergantung kepada kedalaman air.
Gempabumi pada 26 Disember tercatat sebagai 9 pada skala Richter, menjadikannya yang terbesar sejak gempabumi Alaska dan satu di antara yang terhebat dalam abad kebelakangan ini. Pusat gempa kepada gegaran awal merupakan tidak jauh dari pantai barat laut pulau Sumatra di Indonesia, diikuti dengan beberapa siri kejutan lanjutan yang melarat ke utara melalui pulau Andaman dan Nacobar di Teluk Bengal.
Dua piring benua atau ‘tektonik’ – di Asia dan India – bergerak sepanjang satu garis kesalahan sepanjang 1,000km sebanyak 20 meter, membebaskan tenaga yang setara dengan lebih dari 20,000 bom nuklear sebesar yang dijatuhkan ke atas Hiroshima pada 1945. Gempa terjadi sebelum pukul 8.00 pagi waktu Sumatra [1 pagi GMT].
Lapan minit kemudian, satu loceng amaran tercetus di Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii melalui isyarat seismik yang diuruskan dari stesen-stesen di Australia. Tiga minit selepas itu, satu mesej dihantar kepada satu lagi pemerhati di Pasifik. Pada 8.14 pagi, satu amaran berjaga-jaga memberitahu kesemua negara yang mengambil bahagian di dalam rangkaian itu tentang gempa tersebut, menyatakan ianya tidak mendatangkan sebarang ancaman tsunami kepada rantau Pasifik.
Sejam kemudian, pusat tersebut mengkaji semula anggaran awal saiz gegaran dari 8 ke 8.5 dan mengeluarkan arahan berwaspada kedua, memberi amaran kemungkinan adanya tsunami di Lautan Hindi.
Panggilan telefon kecemasan dibuat untuk memberi amaran. Namun tanpa adanya sebarang prosedur di Lautan Hindi, ianya mengena dan terlepas. “Kami mula memikirkan siapa yang patut dihubungi. Kami bercakap dengan Pusat Operasi Jabatan negara dan kepada pihak tentera. Kami hubungi kedutaan. Kami bercakap dengan tentera laut di Sri Lanka, mana-mana pegawai kerajaan tempatan yang dapat kami capai.” ahli geofizik Barry Hirshorn memberitahu akhbar Honolulu Advertiser.
Di negara-negara dalam laluan tsunami, responsnya tidak teratur dan lesu. Beberapa pihak yang menyedari bahayanya dihalang oleh kekurangan persediaan, birokrasi dan ketidakcukupan infrastruktur. Yang lain sama ada tidak tahu bagaimana hendak mentafsirkan amaran itu, atau bersikap acuh tak acuh kepadanya.
Tiada satu pun negara mengelilingi Teluk Bengal mengeluarkan amaran rasmi, membiarkan berjuta-juta penduduk berserah nasib sepenuhnya kepada belas kasihan badai yang mendatang.
|